Saturday, July 05, 2014

Sharifah Aini Meninggal Dunia

Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan
Kak Pah meninggal dunia awal pagi tadi di Pusat Perubatan Pakar
Damansara. Allahyarham yang berusia 61 tahun menghembuskan nafas
terakhirnya pada pukul 1.26 akibat jangkitan pada paru-paru.
Allahyarham telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan
Pakar Damansara pada Selasa. Biduanita itu dikesan menghidap
fibrosis paru-paru  dua tahun lalu. Kak Pah dimasukkan ke hospital oleh
anaknya, Aliff Omar susulan kesukaran bernafas awal pagi Isnin.

Sharifah Aini anak pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor
 Syed Ahmad Al-Attas yang dilahirkan di Nee Soon, Singapura
pada 2 Julai 1953. Namun sejak usia lapan bulan lagi, Kak Pah mula
dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam 
Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry,
di Majidee, Johor Bahru. Datuknya seorang pemandu teksi dan
kehidupan mereka keluarga bukanlah senang. Kak Pah sewaktu kecil
pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih.

Titik tolak Kak Pah menjadi artis adalah selepas menjuarai pertandingan
Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Beliau kemudian
disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan label itu
selama 38 tahun.
Hasilnya, nama Kak Pah terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai
penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.
Kak Pah menerima gelaran Biduanita Negara pada tahun 2006.

Sesungguhnya ini adalah kehilangan besar buat industri hiburan tanah air. 
Al-Fatihah. 
Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan
mendoakan agar beliau ditempatkan di kalangan orang beriman. Amin. 
Info asal : MUKHRIZ MAHATHIR FC

No comments: